Huraian dan kesimpulan ini adalah berdasarkan buku Pedoman Masa Muda karya Badiuzzaman Said Nursi bermula dari muka surat 5 hingga 12. Ia dihurai bertujuan untuk memberi penerangan yang lebih ringkas dan jelas kepada pembaca . Penulis merupakan salah seorang pelajar talaqqi yang mendalami Risalah An-Nur di bawah tanggungjawab guru yang thiqoh dalam pengajian ini.
Dalam buku Pedoman Masa Muda, disebutkan beberapa orang pemuda yang dikelilingi godaan fitnah yang mempesona tetapi belum hilang kewarasan bertanyakan Imam Nursi, “bagaimana untuk menyelamatkan akhirat kami apabila berhadapan dengan maksiat serta serangan hawa nafsu masa kini yang memperdaya dan mempesona?”
MAKSIAT ; MEMPERDAYA DAN MEMPESONA
Zahirnya, maksiat itu menyeronokkan dan ‘fitrahnya’ sentiasa memperdaya manusia. Tetapi keseronokan itu hanyalah sesaat sahaja dibandingkan dengan kesusahan dan penyesalan selepas perbuatan tersebut. Contohnya perbuatan zina antara lelaki dan perempuan. Cinta yang haram hanyalah sesaat tetapi kesusahan itu berpanjangan dan abadi. Seorang perempuan yang terjebak dengan zina terpaksa membawa kandungan dengan segala kesusahan dan kepayahan selama 9 bulan tanpa kehadiran seorang ‘suami’, dibenci keluarga, dipandang serong oleh masyarakat dan keturunan menjadi rosak. Apabila anaknya lahir, terpalit sama perasaan serong itu kepada anak tersebut sedangkan kesilapan itu daripada ibu ayahnya, bukanlah dirinya sendiri.
Kata Imam Nursi, maksiat diibaratkan seperti madu beracun yang apabila diteguk, terasa nikmat tetapi lama kelamaan membunuh dan menyeksakan.
Jika diperhatikan pada zaman dahulu, agak susah untuk maksiat itu masuk ke dalam rumah, kecuali apabila kita sendiri yang mendedahkan diri kita dengan perkara tersebut. Tetapi jika dilihat dalam keadaan sekarang, melalui media sosial dan televisyen, kita terdedah dengan pelbagai maksiat dan perkara yang melalaikan setiap masa walaupun berada di rumah sendiri! Begitu mudah tayangan maksiat dipaparkan yang ada kalanya susah untuk kita mengelak dari melihatnya melainkan dengan keteguhan dan tekad iman. Demikianlah maksiat yang boleh digambarkan seperti magnet kerana kita benar-benar akan tertarik jika tidak kuat lantaran magnet itu benar-benar berada di hadapan kita.
HAWA NAFSU
Hawa nafsu manusia sangat sukakan keseronokan dan sering mendorong manusia ke arah kelalaian dan hiburan. Di saat hawa nafsu pada masa sekarang yang sangat menarik perhatian manusia, sangat susah untuk kita menjaga keimanan. Dimana-mana kita terdedah kepada maksiat dan hawa nafsu yang memperdaya dan mempesona manusia.
APAKAH JAWAPAN IMAM NURSI?
“Kubur ada dan sesiapa pun tidak boleh mengingkarinya. Mahu tidak mahu, semua orang akan masuk ke sana. “
KUBUR ITU ADA
Adakah sesiapa yang boleh mengingkari kewujudan kubur? Tidak sama sekali! Ke manakah destinasi Rasulullah dan para sahabat yang kita rindukan, nenek moyang kita yang kita sayang, ibu bapa yang kita cintai dan mereka yang telah mendahului kita dan juga mereka yang akan menyusul bertemu dengan-Nya? Sesiapapun pasti akan menjawab KUBUR sekalipun dia bukan seorang muslim.
Dimana-mana ada kubur dan setiap hari juga kita mendengar berita tentang kematian sama ada ahli keluarga yang kita sayang, sahabat-sahabat yang kita kasih dan semua orang pasti akan kembali ke kubur. Sesungguhnya, kematian itu ibarat seekor singa ganas yang sering mengejar manusia dan bila-bila masa sahaja kita akan diterkam olehnya.
Imam Nursi memberitahu, “Untuk memasukinya pula (kubur), tiada jalan selain daripada tiga jalan dalam 3 bentuk.”
Jalan pertama : Bagi orang yang beriman, kubur itu ialah pintu untuk menuju ke sebuah alam yang lebih indah daripada dunia ini.
Jalan kedua : Bagi orang yang mempercayai akhirat tetapi menujunya dalam jalan kemungkaran dan kesesatan, kubur ialah pintu penjara abadi dan penjara perseorangan serta persendirian yang memisahkannya daripada semua teman. Oleh sebab dia melihat, beriktikad dan tidak bertindak seperti yang diimaninya, dia akan menerima layanan yang sebegitu.
Jalan ketiga: Bagi orang yang ingkar dan sesat kerana tidak mengimani akhirat, kubur ialah pintu penghapusan abadi iaitu tali gantung yang akan menghapuskan dirinya serta semua insan yang disayanginya. Oleh sebab dia memahami begitu, maka dia akan mendapat balasan yang sedemkian sebagai hukuman.
Imam Nursi mengambarkan 3 jalan/cara untuk ke kubur bagi 3 golongan yang berbeza. Bagi orang yang beriman, mereka merasakan bahawa kubur itu adalah sebuah pintu untuk menuju ke sebuah alam yang lebih indah daripada dunia ini. Bagi orang yang mempercayai akhirat tetapi tidak mengikut hukum al-Quran sebaliknya mengikut hawa nafsu dan syaitan dalam jalan kemungkaran dan kesesatan, dia merasakan bahawa kubur adalah satu penjara abadi dan perseorangan yang akan memisahkannya daripada semua teman.
Kita sering memikirkan tentang masa hadapan kita. Kerana masa depan adalah kehidupan kita. Kita bersedia dengan segala kemungkinan, melakukan persiapan dan persediaan sebaiknya untuk masa hadapan yang selesa kerana ingin memiliki rumah yang mewah, harta yang banyak, kereta yang besar dan sebagainya. Sama seperti kubur, kubur ialah kehidupan masa depan kita. Kita mungkin dijemput pulang lebih awal. Oleh itu, kita perlu membuat persediaan juga untuk kehidupan kita dikubur nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan