Sabtu, 23 Oktober 2021

PEDOMAN MASA MUDA: DI PENJARA ESKISEHIR

 PEDOMAN MASA MUDA, KARYA BADIUZZAMAN SAID NURSI 

PERISTIWA KETIKA DI PENJARA ESKISEHIR


Imam Nursi melihat dari tingkap penjara sekumpulan gadis remaja sekolah menengah yang sedang menari sambil tertawa tanpa rasa malu di halaman sekolah. Imam Nursi mengumpamakan mereka sebagai bidadari neraka di syurga dunia. Hal ini disebabkan walaupun perlakuan gadis tersebut kelihatan menyeronokkan dan mampu menarik perhatian para lelaki namun mengundang kemurkaan Allah dan boleh mendapat azab tidak terperi di akhirat.

 

Kemudian, terbayang di fikiran Imam Nursi akan keadaan mereka pada lima puluh tahun akan datang. Sebahagian daripada mereka sedang menanggung azab di dalam kubur dan tubuh mereka mereput menjadi tanah. Sebahagian yang lain pula menjadi hodoh di usia tujuh puluh tahun dan orang ramai benci memandang mereka. Lalu Imam Nursi menangisi keadaan mereka jika mereka tetap dalam keadaan demikian dan tidak bertaubat.


Maka, Imam Nursi melihat dengan jelas bahawa fitnah akhir zaman paling dahsyat dan paling menggoda lahir daripada wanita yang tiada perasaan malu. Malu itu sebahagian daripada iman. Apabila hilangnya malu daripada diri seseorang. Maka, tidak sempurna keimanannya. Namun mengapakah Imam Nursi menyatakan kenyataan demikian? Ini kerana, tarikan para wanita boleh merampas pilihan seseorang dan mencampaknya kepada api kemungkaran seperti kelkatu yang mengelilingi api akhirnya membakar diri. Sebagai contoh, seorang lelaki ingin mencari perkara yang dapat memotivasikan dirinya di media sosial. Namun, gambar-gambar wanita yang cantik dan tidak menutup aurat yang terpapar banyak di media sosial boleh membuatkan lelaki tersebut cenderung untuk melihat perkara yang haram. Akibatnya, lelaki tersebut terdedah kepada kemurkaan Allah dan azab-Nya. Begitu juga para wanita tersebut yang memaparkan dirinya. Akhirnya, kehidupan yang kekal di akhirat digadaikan semata memuaskan nafsu dalam kehidupan dunia yang hanya seminit cuma.


Untuk menyelamatkan diri daripada neraka maknawi iaitu kemaksiatan  dan memasuki syurga maknawi yang boleh diperoleh di dunia seperti ketenangan, kebahagian, kelapangan hati dan lain-lain hasil daripada keimanan. Maka, hendaklah kita mempelajari dan dengari ajaran Al-Quran. Gantikanlah kelazatan dunia yang sementara dan sedikit dengan kelazatan-kelazatan yang menyeluruh, kekal dan berterusan dengan hidup dalam keimanan. Dalam kemaksiatan ada satu kelazatan namun seribu satu kesengsaraan. Manakala dalam ketaatan dan keimanan mungkin ada sedikit kesusahan namun terdapat seribu satu kebahagiaan.



Learning point oleh: Sister Balqis (FPBU, USIM)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  PERINGATAN KEEMPAT: GANJARAN ABADI Dalam peringatan ini, Imam Nursi menegaskan bahawa solat bukanlah suatu yang hanya sekadar tugas kehamb...