Sabtu, 23 Oktober 2021

RISALAH IMAN DAN SOLAT: KALIMAH 21

RISALAH IMAN DAN SOLAT (KALIMAH KEDUA PULUH SATU)



PENYELESAIAN UNTUK KEBOSANAN DALAM KETAATAN


Dalam kalimah ke-21, disebut dalam kisah pengalaman Badiuzzaman Said Nursi, seseorang telah mengadu padanya bahawa solat itu bagus, namun, mengulanginya sebanyak lima kali sehari adalah menjemukan. Setelah mendengarnya, Imam Nursi juga mendapati nafsunya juga mengatakan perkara yang sama. Benarlah bahawa, nafsu setiap umat ini mempelajari perkara yang sama dari syaitan melalui telinga kemalasan. 


Sifat malas yang dimaksudkan di sini adalah sebuah bentuk kelesuan dalam mentaati perintah Allah SWT dan ianya muncul dari godaan syaitan serta bisikan hawa nafsu yang hanya inginkan kelazatan. Kemalasan dalam beribadah ini adalah keinginan nafsu ammarah yang hanya memikirkan dan membenarkan kejahatan menjadi pilihan utama. Nafsu ini berada dalam tingkatan pertama yang sangat berbahaya dan mudah menjerumuskan pemiliknya untuk jatuh ke dalam neraka, semoga Allah menjauhkan kita dari nafsu ini.


Disebut dalam halaman 96 “Risalah Iman dan Solat”, Imam Said Nursi berkata kepada diri sendirinya, “...Sesiapa yang tidak mengislahkan nafsunya tidak akan dapat mengislahkan orang lain, maka aku memulakannya dengan diri sendiri.” Kata-kata ini sangat bertepatan dengan kata-kata Syeikh Mustafa Masyhur iaitu “Islah nafsak, wadh’u ghoirak” yang bermaksud, “Perbaikilah dirimu sendiri dan (dalam masa yang sama) ajaklah orang lain”. Memperbaiki diri sendiri adalah tunjang membina akar-akar dakwah supaya seorang pendakwah itu layaknya digelar seorang daie yang beramal dengan ilmunya, tidak semata hanya mengajak, namun mengamalkan keperibadian akhlak dengan ilmu. Di sini, Imam Nursi menyedarkan kita bahawa setiap manusia itu tidak sempurna dan proses islah perlu seiring dalam proses dakwah untuk melahirkan generasi yang mampu mendokong amanah menjadi khalifah Allah SWT. 



PERINGATAN PERTAMA: UMUR YANG TIDAK ABADI



Kita tiada kemampuan dan tidak mempunyai sandaran sejauh manakah umur kita akan menjangkau bahkan sesaat lagi hidup pun kita tidak mampu memberi jaminan. Sangkaan keabadiaan yang menjadi arah tuju hidup ini menyebabkan seseorang sanggup membeli keseronokan dunia berbanding kebahagiaan abadi di akhirat. Kesanggupan ini adalah kerana mereka menyangka bahawa hidup ini adalah kekal abadi dan selamanya. 


Hakikatnya, umur yang dikurniakan Tuhan hanyalah sedikit dan hari berganti hari akan berlalu pergi. Jika dibelanjakan umur ini dengan perkara sia-sia,  maka kita akan menyerah dari memiliki perkhidmatan akhirat yang menjadi asbab kebahagiaan abadi yang hakiki.  Maka, hilangkanlah sangkaan keabadian ini, kerana ia mampu melenyapkan kebosanan dalam melakukan ibadah. Mengingati mati mampu memberikan dahaga untuk meraih amal dan tidak akan bosan kerana hati dan nafsu telah tunduk untuk taat perintah Tuhan. 



PERINGATAN KEDUA: KEPERLUAN SANTAPAN IMAN 


Seperti perut lapar yang memerlukan makanan untuk diisi, tekak haus yang memerlukan air untuk hilangkan dahaga, otot-otot dan anggota badan yang seharian bekerja memerlukan rehat, kesemua ini adalah nikmat. Nasi kosong yang berlaukkan ikan masin menjadi sangat enak bagi perut yang kelaparan, air kosong menggiurkan bagi tekak yang sangat dahaga, tidur yang melenakan bagi badan yang terasa lelah. Demikianlah hati dan nafsu yang perlu dijinakkan melalui amal soleh tidak akan berasa bosan dan lesu jika dinikmati.


Kita perlu menjadikan amalan kerohanian sebagai makanan asas dan suatu keperluan kepada jiwa dan hati kerana amalan kerohanian ini bukanlah suatu perkara yang membosankan jika dijadikan sebagai keperluan yang perlu diutamakan. Solat adalah makanan asas bagi hati, juga seperti air yang memberi kehidupan kepada roh jiwa. Hal ini kerana, solat adalah satu-satunya urusan untuk bertemu Tuhan yang paling mendamaikan. Keadaan hati kita yang sentiasa bertemu kedukaan dan mudah jatuh dalam kesedihan serta cita-cita yang tidak pernah berpenghujung, sering kali mengecewakan dasar hati yang paling dalam. Kelelahan dalam hidup, ujian dan cabaran yang dipikul di atas bahu, semuanya hilang tatkala kita mendirikan solat dengan penuh khusyuk. Hal ini kerana, Allah SWT adalah Al-Ma’budul Baqi’ yang sentiasa kekal dan tidak akan hilang seperti kecewanya kita menghadapi kehilangan manusia. Roh kita boleh bergantung pada Allah tanpa rasa akan berpisah. Allah SWT juga adalah Mahbubus Sarmadi, yang sentiasa boleh disayangi, tidak seperti manusia dan haiwan kesayangan yang mungkin saja nanti perasaan sayang itu akan pergi, tapi Allah, tidak sesekali.  Allah cukup dalam segala-galanya, kerana semua kecantikan dan kebaikan adalah dari Allah.


Melalui latifah (perasaan) Robbaniyyah ini, jiwa dan hati mampu bernafas dengan solat dan juga kenyang dengan solat. Solat adalah rahsia antara hamba dan Tuhannya. Sifat keinsanan dan kehambaan tumbuh mekar di hatinya tatkala menunaikan arahan Tuhannya melalui jendela solat, kerana solatlah, seseorang itu dapat bernafas dan terus kuat mengharungi hidup, kerana mata hatinya telah ditajamkan dan diasah dengan mata air rahmat Tuhannya. Latifah Robbaniyyah ini adalah suatu keabadian secara fitrah dalam diri seorang manusia. Fitrah manusia menginginkan sesuatu Yang Berkuasa, Yang Maha Besar untuk bergantung harap kerana hakikatnya, manusia adalah cerminan kepada Allah yang azali. Matinya manusia hanya seketika di dunia, lalu bangkit di akhirat kelak kemudian dihantar ke syurga neraka berdasarkan bagaimana keadaan mereka di dunia, lalu mereka hidup selama-lamanya. 


Maka, adalah penting untuk mengenyangkan latifah Robbaniyyah ini, supaya tidak lemas dan lemah dalam lautan yang menjauhi Allah SWT. Hidupkan latifah ini dengan zikir, majlis ilmu dan ibadah.


Tulisan oleh: Sister Nabilah (FKP, USIM)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  PERINGATAN KEEMPAT: GANJARAN ABADI Dalam peringatan ini, Imam Nursi menegaskan bahawa solat bukanlah suatu yang hanya sekadar tugas kehamb...