Jumaat, 29 Oktober 2021

RISALAH IMAN DAN SOLAT; IMAM NURSI: PERINGATAN KETIGA

 PERINGATAN KETIGA: KESABARAN, TIDAK TERBURU-BURU DAN NIKMATI SEKARANG


Dalam peringatan ini, Imam Nursi menempelak sifat nafsu yang tidak ada kesabaran dan gelisah memikirkan kesukaran ibadah pada hari mendatang, kerana ianya bukanlah satu sikap yang bijak. Kesukaran menjadi hamba yang taat pada Allah adalah suatu kemuliaan kerana kita berhadapan dengan kesusahan dan kesakitan dalam kesabaran untuk taat pada perintah Allah SWT. 


Hakikatnya, kesukaran dan kepayahan ini akan habis, hilang dan akan berlalu tanpa merugikan apa-apa terhadap seseorang hamba. Ibadah terdahulu akan menjadi motivasi dan kelazatan pada masa mendatang, maka seorang hamba itu perlulah menikmati ibadah itu sekarang dan menghargai kesempatan ibadah itu. 


Kenapa harus jemu? Sedangkan lelah dalam solat itu hanya sementara. Masa lalu tidak memberikan kebosanan, tapi semakin ghairah untuk meneruskan solat itu lagi. Hiduplah untuk hari ini, beramallah untuk sekarang ini, jangan difikir keletihan ibadah hari esok, kerana solat bukanlah bebanan besar jika nak dibandingkan pahala yang begitu mahal nilainya. Demikianlah, solat adalah tiket syurga kerana nilai yang ada pada solat itu sendiri adalah mulia dan indah.


Dalam tajuk ini, satu analogi telah diberikan melalui kisah komander yang tidak sabar.





Kisah ini adalah contoh orang yang tidak sabar dan terlalu kalut memikirkan masa hadapan yang belum pasti, sedangkan waktunya sekarang sedang berjalan. Hal yang belum pasti tidak usah untuk diawalkan kerisauan. Sayap kiri diibaratkan masa hadapan dan sayap kanan diibaratkan masa lalu. Hakikatnya, komander itu perlu menjaga kekuatan markas secara keseluruhan dan bukan menghantar kekuatan tentera pada arah yang tidak memberi keuntungan. Memikirkan perkara yang memberi kerugian pada masa sekarang akan menyebabkan seluruh kekuatan menjadi lemah dan rapuh.



Bersabarlah pada tempat dan keadaan yang sepatutnya, jika kita menggunakan sabar pada masa lalu dan mendatang, maka sabar pada waktu sekarang akan hilang. Kerana itulah, nafsu kita dipertanggungjawabkan untuk sabar atas tiga perkara.


  1. Sabar atas ketaatan

  2. Sabar dari melakukan maksiat

  3. Sabar menghadapi musibah


Maka, bersabarlah ketika melakukan ketaatan terutama dalam solatmu, sempurnakan dan laksanakan sebaiknya seolah-olah itu adalah solat terakhir kita. Jadikan masa lalu sebagai kenangan dan pengajaran untuk membetulkan kembali cara pada waktu sekarang. Bertahanlah dengan kekuatan kesabaran, kerana sabar itu akan memberimu buah kebahagiaan di hari akhirat kelak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  PERINGATAN KEEMPAT: GANJARAN ABADI Dalam peringatan ini, Imam Nursi menegaskan bahawa solat bukanlah suatu yang hanya sekadar tugas kehamb...