PERINGATAN KEEMPAT: GANJARAN ABADI
Dalam peringatan ini, Imam Nursi menegaskan bahawa solat bukanlah suatu yang hanya sekadar tugas kehambaan, namun didalamnya terkandung natijah yang sangat besar dan menguntungkan! Bab ini memberi analogi tentang bagaimana seorang majikan memberi upah dan menyuruh pekerjanya untuk bekerja siang malam, maka pekerja tersebut tidak akan jemu kerana yakin dengan ganjaran yang akan diperoleh.
4 Natijah bagi ganjaran solat.
Santapan dan kekayaan bagi hati yang lemah dan fakir
Makanan dan cahaya di kubur kelak
Jaminan dan pelepasan di Mahsyar
Menjadi Nur dan buroq di atas titian sirat
Manusia, apabila menjanjikan hadiah yang bernilai tinggi dan mengarahkan orang bawahannya bekerja untuknya, maka hakikatnya orang bawahan tersebut akan bkerja tanpa jemu meski bergantung pada janji yang belum pasti.
Namun, sebaliknya bagi Allah SWT yang Maha Adil, mustahil bagi-Nya untuk memungkiri janji, dan janji-Nya juga bukanlah hal-hal remeh temeh, namun ganjaran yang besar dan abadi. Untuk beberapa minit yang diperuntukkan dalam solat, seseorang boleh menikmati keempat natijah yang disebut di atas jika melakukan solat dengan ikhlas semata-mata kerana-Nya.
Hakikatnya, manusia harus yakin dan sedar, penjara abadi di neraka memberi keseksaan yang amat memeritkan. Muhasabahlah, adakah kita lebih rela untuk duduk di penjara sana hanya kerana malas melakukan pekerjaan yang paling mudah dan ringat iaitu solat? Orang yang takut untuk berada di penjara dunia maka dia tidak jemu dengan kerja berat, samalah juga dengan orang yang tidak mahu dipenjarakan di akhirat sana, maka dia tidak jemu untuk mengerjakan solat. Dia yakin bahawa Allah tidak meremehkan hadiah kurniaan-Nya buat orang yang patuh dan taat.